Sistem pembangunan pemain badminton remaja perlu dinilai semula

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng menegaskan Malaysia berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan jika tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.

Amaran tegas itu disuarakan Tat Meng, 58, selepas beliau menyaksikan sendiri prestasi longlai skuad muda negara di Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia yang menutup tirainya, semalam.

Menurutnya, kegagalan pemain negara sama ada dalam acara perseorangan lelaki dan wanita untuk mara ke suku akhir sebagai isyarat jelas bahawa sesuatu perlu diperbaiki segera dalam sistem pembangunan pemain muda di Malaysia.

“Saya berada di Solo menonton Kejohanan Remaja Asia, dan saya harus katakan, ia sangat mengecewakan dan menyedihkan apabila tiada seorang pun pemain perseorangan kita, lelaki atau wanita, berjaya mara ke suku akhir,” kata Tat Meng dalam media sosialnya.

“Meskipun saya tidak lagi menetap di Malaysia, saya masih mengambil berat, lebih-lebih lagi kerana pernah menjadi sebahagian daripada sistem kejurulatihan kebangsaan.

“Ia benar-benar membuat saya tertanya-tanya, apa yang sedang berlaku dalam sistem pembangunan remaja kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini?”

Tat Meng menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya tidak kekurangan bakat, namun ada sesuatu yang asas dalam pembangunan seperti menyekat mereka menterjemahkannya kepada keputusan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Sudah tiba masanya kita melakukan semakan menyeluruh dan tetapkan hala tuju jangka panjang yang jelas. Jika tidak, kita bakal berdepan krisis lebih besar dalam acara perseorangan pada masa akan datang.”

Skuad badminton remaja negara menamatkan kempen di Solo dengan nota kecewa yang menyaksikan perjalanan dalam acara berpasukan berakhir di suku akhir. – BH

More From Author

Chegubard ditahan polis atas dakwaan menghasut – Peguam

20 kanak-kanak termasuk bayi berusia 15 hari ditemui dalam gudang