KUALA LUMPUR: Ketua BERSATU Bahagian Port Dickson, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis di kediamannya hari ini berkaitan himpunan pembangkang di bandar raya ini, kelmarin.
Peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali menerusi kenyataan, memaklumkan aktivis politik itu ditahan kira-kira jam 2.30 petang di kediamannya.
Menurutnya, pihaknya menerima pengesahan bahawa terdapat laporan polis terhadap Badrul Hisham berkaitan himpunan yang berlangsung di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
“Sepatutnya Chegubard dijadualkan berjumpa dengan pegawai penyiasat esok pada jam 11 pagi di Bukit Aman,” katanya menegaskan tangkapan dalam kes ini tidak diperlukan kerana Badrul Hisham memberi aku janji untuk hadir di Bukit Aman.
Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Mohamed Jan dilaporkan berkata, polis setakat ini menerima empat laporan berkaitan himpunan berkenaan.
Satu kes di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), manakala tiga lagi dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM) berkaitan dron.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – BH
