‘Pilihan gaji tinggi makin kurang’

KUALA LUMPUR: Kedudukan kewangan kurang ‘kencang’ khususnya membabitkan majoriti pasukan yang bertanding dalam Liga Super membuatkan pemain tampak tidak lagi boleh mendambakan ‘gaji kayangan’ daripada pasukan disertai.

Senario itu diakui pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin yang mengakui realiti terbabit perlu ditelan pemain sekali gus memaksa mereka untuk lebih bijak dalam mengatur perancangan bagi memastikan karier bola sepak mereka boleh terus ‘hidup’.

Tegas bekas pengendali UKM FC itu, pemain bola sepak kini boleh dianggap berdepan situasi yang amat sukar apatah lagi dengan saingan bola sepak yang kian menguncup sehingga menyebabkan jumlah pasukan turut berkurangan.

“Pasaran bola sepak kita tidak seperti dahulu, mungkin kerana salah satu faktor adalah kewangan di mana kebanyakan pasukan menghadapi masalah ini. Jadi pemain pada hari ini, kuasa mereka untuk ‘demand’ semakin berkurangan.

“Kalau ada pemain yang rasa masih mahukan gaji yang tinggi, mereka akan sukar mendapat pasukan. Sesetengah pemain terpaksa mengambil gaji lebih rendah daripada sebelum ini untuk memastikan survival mereka kerana bola sepak adalah cara mereka mencari makan.

“Kalau tiada pasukan, itu akan mendatangkan masalah. Saya lihat ramai pemain pada masa kini, tak perlulah nak terlalu mahukan (gaji yang tinggi) kerana saya tidak nampak banyak pasukan yang mampu memenuhi permintaan mereka dari aspek ini.

“Jadi saranan saya yang paling penting adalah mereka perlu pastikan yang mereka ada pasukan,” kata Sulaiman.

Apapun, Sulaiman tetap melihat semuanya terpulang kepada pemain dan mereka perlu memikirkan langkah yang terbaik supaya mereka dapat terus kekal bertanding dalam Liga Super.

“Memang ada pasukan di Liga A1 Semi-Pro tetapi kita pun tahu sejauh mana kemampuan pasukan itu. Jadi kalau ada pasukan Liga Super yang tawarkan gaji 30 atau 40 peratus lebih rendah, saya rasa lebih baik mereka terima.

“Kalau tiada tawaran langsung, boleh juga ke Liga A1 Semi-Pro tetapi gaji di sana mungkin lebih kecil. Terpulang kepada pemain, cuma kestabilan hidup lebih penting.

“Lambakan pemain juga berlaku dengan ketiadaan Piala MFL dan pemain bagus di situ pun akan mencuba di Liga Super. Kalau dapat, ambil sahaja (tawaran) ataupun lupakan,” katanya. – BH

More From Author

Peserta program motivasi guna alat permainan ‘ehem’

Kalau bincang, tegur berhemah saya boleh terima – Shila Amzah