SHAH ALAM: Shila Amzah menafikan mencampuri atau memberi komen negatif terhadap rumah tangga seorang penyanyi legenda.
Shila atau nama sebenar, Nurshahila Amir Hamzah, 35, berkata dia hanya menyokong kenyataan dikeluarkan anak penyanyi terbabit, menerusi hantaran media sosial.
“Perkara ini mungkin kerana satu komen yang saya bersetuju dengan apa yang dia (anak penyanyi legenda) kata dan saya sokong kerana mengalami nasib sama.
“Jadi, saya mengiyakan perkara itu kerana saya juga melaluinya. Ini seperti seorang wanita yang memberi sokongan kepada kawan wanita lain.
“Saya pasti, bukan saya seorang sahaja yang komen, malah saya tak menyebut nama sesiapa. Saya tiada apa-apa kaitan dengannya,” katanya ditemui selepas siaran langsung minggu keempat program The Raise Star di Royal Theatre di sini, malam tadi.
Khamis lalu, Shila membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya diserang seorang penyanyi legenda ketika sesi latihan konsert ulang tahun ke-20 kedai serbaneka, Mr D.I.Y di Stadium Merdeka di Stadium Merdeka, di sini.
Hasil siasatan, polis mendedahkan rasa tidak puas hati kerana mencampuri masalah keluarga dipercayai menjadi punca Shila diserang penyanyi terbabit.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad dilapor berkata, punca kejadian itu adalah rasa tidak puas hati suspek terhadap pengadu yang mencampuri masalah keluarganya.
Sementara itu, Shila berkata, dia masih boleh terima jika penyanyi terbabit cuba berbincang dan menegurnya secara berhemah.
“Dengan cara itu, saya masih boleh terima biarpun tidak bersalah. Saya tetap akan minta maaf sebab perlu saling menghormati.
“Seandainya, ia berlaku di khalayak, ia bukan berkaitan saya sahaja, tetapi bagaimana pula dengan dia yang saya anggap individu sangat dihormati dan idola ramai.
“Itu yang menyebabkan apa yang dia lontarkan kepada saya impaknya lebih besar. Perkara itu tidak perlu berlaku kepada saya,” katanya. – BH
