KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyemak semula Kadar Asas Standard (SBR), Kadar Asas (BR) dan Kadar Pembiayaan Asas (BFR) sebanyak 25 mata asas kepada masing-masing 2.75 peratus, 3.52 peratus dan 6.47 peratus setahun, berkuat kuasa esok.
Pelarasan itu berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas daripada 3.00 peratus kepada 2.75 peratus, yang diumumkan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd Muazzam Mohamed, berkata langkah strategik itu dijangka menyokong aktiviti ekonomi dan menawarkan bantuan kewangan kepada individu dan perniagaan dengan pembiayaan yang dikaitkan dengan SBR, BR atau BFR.
“Bank Islam tetap komited untuk memajukan pertumbuhan ekonomi sambil kekal responsif kepada keperluan pelanggan yang berubah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kadar OPR yang lebih rendah juga membolehkan Bank Islam mempunyai kapasiti yang lebih besar untuk meningkatkan portfolio pembiayaannya, mengukuhkan pembabitan pelanggan sambil mengekalkan kualiti aset.
Selain itu, ia membolehkan bank itu untuk memperluaskan jangkauannya kepada segmen kurang mendapat perkhidmatan bank melalui akses perbankan digital yang dipertingkatkan melalui platform seperti ‘BIMB Mobile’ dan aplikasi perbankan ‘Be U by Bank Islam’.
Mohd Muazzam berkata, sebagai bank yang didorong oleh tujuan dan bertanggungjawab, pihaknya melihat pengurangan OPR sebagai peluang untuk meneruskan peranannya dalam membolehkan daya tahan kewangan, terutamanya bagi mereka yang paling terjejas oleh peningkatan kos sara hidup.
Beliau berkata, peranan Bank Islam melangkaui daripada menawarkan pembiayaan mampu milik dan pihaknya berhasrat untuk menyumbang kepada ekosistem ekonomi yang lebih inklusif dan mampan untuk semua. – BH
