JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) hari ini mengesahkan membawa masuk pemain kelab Sporting Gijon, Nacho Mendez.
Perpindahan pemain tengah berusia 27 tahun itu diumumkan Harimau Selatan menerusi rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook rasmi kelab, Johor Southern Tigers.
“Nacho Mendez menjadikan Johor sebagai destinasi pertamanya selepas menghabiskan karier di Sepanyol!” demikian menurut kelab tersebut.

Semalam, akhbar terkemuka Sepanyol, El Comercio melaporkan bekas tonggak Sporting Gijon itu dikatakan sudah memuktamadkan penghijrahannya ke Malaysia dengan menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama juara Liga Super 11 musim berturut-turut itu.
“Mendez sudah memuktamadkan perpindahannya ke Johor Bahru dengan ikatan tiga musim. Terdapat beberapa tawaran dari saingan Segunda División, termasuk daripada Levante, tetapi tiada yang benar-benar konkrit,” lapor akhbar berkenaan.
Mendez menjadi pemain kelapan yang dibawa masuk JDT pada musim ini selepas Ibrahim Manusi, Antonio Glauder, Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Jonathan Silva dan Jairo da Silva.
Pemain tengah tersebut mencetak 17 gol dan 11 bantuan gol dalam 218 penampilan bersama Sporting Gijon sebelum meninggalkan kelab divisyen 2 itu apabila kontraknya tamat pada 30 Jun lalu.
Perpindahan Mendez ke JDT membuka ruang buat dirinya untuk menjadi pemain warisan Harimau Malaya selepas khabar angin menyatakan pemain yang dilahirkan di Luanco, Sepanyol itu kini dalam fasa akhir proses mendapatkan kerakyatan Malaysia.
Sekiranya proses berkenaan berjalan lancar, Mendez berpotensi dipanggil Peter Cklamovski menjelang kempen Piala Negara-Negara CAFA 2025 yang akan bermula hujung Ogos ini. – Majestic
