JOHOR BAHRU: Sebuah pertubuhah bukan kerajaan, Persatuan Pemuda, Puteri Malaysia Bersatu (Perimau Malaysia) meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menangguhkan dahulu peluasan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kerana ia memberi kesan yang besar terhadap kehidupan serta ekonomi rakyat.
Presidennya, Mohd. Ridhwan Othman berkata, Perimau Malaysia dan majoriti rakyat mempunyai harapan yang tinggi supaya Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan agar dapat memberi pertimbangan sewajarnya, sekali gus menangguhkan dahulu pelaksanaannya.
“Kita sedia maklum bahawa percukaian ini akan mengalami percukaian berlapis-lapis yang akan dikenakan kepada pengeluar dan kos ini akan diserap kepada pengguna.
“Ini akan meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat yang sememangnya sudah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini, termasuk penarikan pelbagai subsidi oleh pihak kerajaan baru-baru ini.
“Perkara ini akan menyebabkan infasi negara terus meningkat, sekali gus merencatkan pembelian barangan dan perkhidmatan oleh rakyat bagi semua golongan yang kini sudah terbeban dengan apa yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Justeru, beliau berharap suara rakyat di peringkat akar umbi itu didengari oleh kerajaan.
