Tiada bukti kegagalan sistem mekanikal menyebabkan kemalangan bas di Gerik – MOT

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan, berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan melibatkan sebuah bas di Gerik pada 9 Jun lalu.

Menterinya Anthony Loke berkata, berdasarkan laporan awal teknikal yang disediakan oleh Puspakom, keadaan fizikal bagi brek bas, kesemua brake lining dan brake drum bagi semua gandar masih berada di dalam keadaan memuaskan.

Jelasnya, tidak terdapat sebarang ketidakseragaman pada brake drum mahupun kenipisan pada brake lining, selain tiada petunjuk kegagalan mekanikal pada aspek-aspek ini yang boleh dikaitkan secara langsung sebagai punca kemalangan.

“Dari pemeriksaan fizikal tayar, didapati ketebalan bunga tayar dalam keadaan yang memuaskan dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan.

“Komponen bahagian steering dan suspensi secara menyeluruh adalah dalam keadaan memuaskan. Berdasarkan pemerhatian dan siasatan teknikal, tiada bukti merujuk kepada kegagalan sistem mekanikal yang menyebabkan kemalangan.

“Oleh yang demikian, kemungkinan besar kemalangan berlaku berpunca dari faktor-faktor lain seperti faktor manusia, keadaan jalan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Loke berkata, langkah penambahbaikan yang bersesuaian akan dipertimbangkan dan dilaksanakan berdasarkan penemuan akhir nanti, bagi memastikan keselamatan jalan raya terus dipertingkatkan.

“MOT ingin menegaskan bahawa keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan kami.

“Penguatkuasaan terhadap pematuhan piawaian keselamatan, kelayakan pemandu, dan pemantauan operasi syarikat pengangkutan akan terus diperketat secara berterusan.

“Kepada semua keluarga mangsa, MOT merakamkan ucapan takziah dan komited untuk memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang,” katanya lagi. – MN

More From Author

UMNO perlu berubah jika mahu dominan semula

Wanita derma darah 580 kali terima Anugerah ‘Medal For Life’