Didenda RM7,000 tunjuk kemaluan kepada murid perempuan

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur didenda RM7,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual dengan menunjukkan kemaluannya kepada seorang murid perempuan, awal bulan ini.

Hakim Nor Aziati Jaafar turut memerintahkan tertuduh, Ong Sheo Ming, 54, dipenjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Bapa kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu turut diperintah menjalani pengawasan polis selama setahun.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual dengan cara menunjukkan kemaluannya kepada mangsa berusia 12 tahun itu bagi maksud seksual di kawasan sebuah sekolah kebangsaan di Tampoi di sini, kira-kira jam 1.30 petang 1 April lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam rayuannya, Ong meminta agar hukumannya diringankan kerana sudah tidak lagi bekerja di Singapura sebelum ini.

“Saya sudah berusia lebih 50 tahun dan susah mencari kerja dan isteri saya pula warga Indonesia.

“Saya menyesal atas perbuatan yang dilakukan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan serta mengubah menjadi lebih baik,” katanya.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman denda berkenaan selepas meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan bersalah tertuduh, keterangan fakta kes dan kepentingan awam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Wahida Shahudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa bersama adik saudaranya sedang berjalan di kawasan kejadian sebelum dipanggil oleh suspek yang menaiki sebuah kereta Honda Accord berwarna hitam.

Suspek kemudian bertanya lokasi tandas dan mangsa telah melihat seluar suspek dalam keadaan telah diturunkan dengan suspek memegang kemaluannya.

Kejadian itu kemudiannyq tular di media sosial sebelum bapa mangsa berusia 33 tahun membuat laporan polis. – MAJESTIC

More From Author

Bekas pegawai eksekutif didakwa pecah amanah lebih RM1 juta

Pesara maut tercampak langgar batu di Lebuhraya EDL