Pesara maut tercampak langgar batu di Lebuhraya EDL

JOHOR BAHRU: Seorang pesara maut apabila motosikal ditunggang hilang kawalan dan melanggar batu pembahagi jalan di kilometer 44 Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik (EDL) di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian itu berlaku pukul 10.20 pagi dalam kejadian menghala ke bandar raya ini.

“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 80 tahun dipercayai dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru dengan menunggang motosikal jenis Honda Wave.

“Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang hilang kawalan dan terbabas melanggar batu pembahagi jalan di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa tercampak atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, pemeriksaan petugas perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

Mengenai dakwaan yang tular mendakwa mangsa dilanggar lari, beliau berkata, perkara tersebut akan disiasat.

Menurut Raub, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Αkta Pengangkutan Jalan 1987.

Pihaknya meminta saksi kejadian untuk tampil ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nurulhadi Ali 019-523 0102 bagi membantu siasatan. – MAJESTIC

More From Author

Didenda RM7,000 tunjuk kemaluan kepada murid perempuan

Lif kerap rosak di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor