KLUANG: Sungai Bahai di pekan Kahang di sini tercemar apabila airnya bertukar warna kehitaman, berbau busuk dan berminyak sejak pukul 6 petang semalam.
Pencemaran terbaharu tersebut
dipercayai akibat pelepasan air sisa kilang di bahagian hulu, sekali gus menimbulkan kebimbangan penduduk setempat terutamanya masyarakat Orang Asli yang tinggal berdekatan.
Penduduk Kampung Orang Asli Sungai Peroh yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, mendakwa pencemaran sungai itu sering berulang walaupun sudah diambil tindakan terhadap kilang terbabit termasuk denda.
“Kami kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang sering mencemarkan air sungai di pekan Kahang ini yang seperti tidak takut didenda dan tidak menghiraukan kesannya.
“Pendapatan harian penduduk yang banyak bergantung kepada hasil sungai termasuk penduduk Kampung Orang Asli Pucur kini semakin tidak menentu akibat daripada beberapa siri pencemaran di sungai-sungai kecil di sini,” katanya.
Akibat pencemaran yang tidak berkesudahan itu, hidupan air seperti udang galah, ikan baung, patin dan lain-lain semakin berkurangan serta memerlukan masa antara lima hingga enam bulan untuk pulih kembali.
“Sampai bila kami terus berhadapan dengan situasi ini kerana ia sentiasa berulang sepanjang tahun samada dicemari air pasir berwarna putih atau air sisa kilang berwarna hitam dan busuk itu.
“Oleh yang demikian, kami amat mengharapkan tindakan lebih tegas dikenakan kepada pihak-pihak berkaitan agar tiada lagi pencemaran serupa pada masa-masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan ketika dihubungi mengesahkan pencemaran tersebut yang dimaklumkan kepada pihaknya lewat petang semalam.
“Kejadian sudah pun dilaporkan kepada pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk tindakan selanjutnya,” katanya.- MAJESTIC
