JOHOR BAHRU: Seorang gadis maut manakala ibunya parah apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Masai Lama, Masai, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan tersebut berlaku pukul 10.20 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
“Motosikal berkenaan ditunggang seorang wanita berusia 20 tahun pembonceng pula adalah ibunya yang berusia 47 tahun.
“Semasa kejadian mangsa sedang menunggang melalui lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya parah dan kini dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.
Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MAJESTIC
