JOHOR BAHRU: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara 21 tahun dan 24 sebatan atas 13 pertuduhan meliwat, melakukan amang seksual, merogol dan merakam video penganiayaan seksual ke atas anaknya pada Januari dan Februari lalu.
Hukuman itu dijatuhkan Hakim Nor Aziati Jaafar dan Madihah Zainol di dua kamar berasingan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tertuduh yang berusia 43 tahun selepas mengaku bersalah terhadap 13 pertuduhan tersebut.
Kesemua pertuduhan membabitkan jenayah amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii, membuat video penganiayaan seksual dan merogol anak perempuannya yang berusia enam tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahidah Shahudin dan S Manushri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, tertuduh memohon hukuman diringankan atas alasan perlu menanggung enam anak selain isterinya tidak bekerja dan menghidap kanser.
Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama 21 tahun secara keseluruhan bermula dari tarikh tangkap pada 18 Februari dan 24 kali sebatan.
Selain itu, hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman kaunseling permulihan sepanjang tempoh pemenjaraan dan berada dalam pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.
Namun, Nur Farah Wahidah meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal selepas mengambil kira kesalahan serius tertuduh dan kesan berpanjangan terhadap mangsa yang masih kecil.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal bersama-sama kekasihnya terhadap anaknya yang berstatus tidak sah taraf itu antara 22 Januari hingga 17 Februari lalu.
Seterusnya, tertuduh berdepan empat lagi pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal dengan cara melakukan hubungan seksual di hadapan mangsa antara 23 Januari hingga 16 Februari.
Lelaki itu turut dituduh dengan dua pertuduhan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dengan mangsa pada 16 dan 17 Februari.
Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan membuat bahan penganiayaan seksual kanak-kanak ke atas mangsa tanpa kerelaannya pada 22 Januari dan 23 Februari dan satu pertuduhan rogol pada 17 Februari.
Bagi kesalahan amang seksual fizikal boleh didakwa di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 manakala kes amang seksual bukan fizikal, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(c) akta yang sama.
Selain itu, bagi perbuatan persetubuhan luar tabii merupakan kesalahan bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 30 tahun serta sebatan.
Penghasilan bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dalam bentuk video pula didakwa di bawah Seksyen 5 AKSTKK 2017 dan kes rogol kanak-kanak didakwa di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah setinggan dekat Kampung Kempas Baru di sini, antara pukul 11.35 malam, 22 Januari lalu hingga waktu pagi, 17 Februari lalu.
