Along ugut culik, jual ibu peminjam

JOHOR BAHRU: Seorang wanita bertekad memutuskan hubungan dengan anak selepas tidak sanggup lagi berdepan ugutan along mahu membakar rumah dan menangkapnya hanya kerana pinjaman wang yang dilakukan anaknya.

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Siah, 45, mengakui kehidupannya kini terancam dan tidak lena tidur susulan ugutan serta ancaman diterimanya.

Menurut suri rumah tersebut, anak lelakinya berusia 27 tahun telah membuat pinjaman dengan along sebanyak RM1,000 dan perkara itu diketahuinya selepas along terbabit menghubunginya.

“Saya terkejut mendapat tahu anak saya membuat pinjaman dengan along. Saya

telah dihubungi along yang menggunakan nombor telefon berbeza menuntut bagi melangsaikan hutang pinjaman yang dibuat anak kedua saya itu sehingga mencecah RM5,000.

“Ketika berada di rumah di Seremban, Negeri Sembilan, saya telah menerima ugutan daripada along yang bukan sahaja mengugut untuk membaling cat merah dan membakar rumah, malah mereka turut mengugut untuk menculik dan menjual saya.

“Hal ini menyebabkan saya merasakan keselamatan diri dan keluarga saya terancam selain bimbang berlaku kemusnahan harta benda.

“Saya sudah dua tahun tak berjumpa anak saya itu, saya pun tidak tahu di mana di berada sekarang. Dalam situasi ini, saya memilih untuk memutuskan hubungan dengannya,” katanya.

Dia berkata demikian dalam sidang akhbar

selepas membuat aduan berkenaan kejadian tersebut kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chan Kah Eng di Taman Maju Jaya, semalam.

Menurut Siah, dia telah membuat laporan berhubung perkara tersebut di Balai Polis Skudai pada 1 Disember lalu.

Difahamkan, anak mangsa hanya menerima RM500 daripada pinjaman RM1,000 yang dibuat melalui media sosial.

Siah memberitahu, anak sulungnya serta adik dan kakak iparnya turut mendapat mesej ugutan daripada ah long yang sama menuntut bayaran tersebut.

Dia turut menerima surat ugutan yang dihantar ke rumahnya sebagai amaran terakhir sebelum mengambil tindakan keras terhadapnya.

“Menurut surat itu, jika saya mengabaikan mesej mereka atau bagi alasan tidak ada duit, saya perlu membayar dengan harga lebih tinggi selain ugut untuk bakar rumah.

“Mereka juga mencabar saya membuat laporan polis untuk lihat sejauh mana polis dapat menjamin keselamatan diri kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Kah Eng berkata, masyarakat perlu lebih bijak dan tidak seharusnya membuat pinjaman dengan sumber yang tidak sah bagi elak terjerumus dalam masalah seperti ini.

“Bagi kes seperti ini, sukar untuk kita mengesan mereka, hanya dapat berhubung melalui telefon. Lebih buruk, ahli keluarga yang tidak bersalah turut terpalit setelah turut menerima ugutan daripada ah long.

“Kita menyeru Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagaimana sindiket ini dengan mudah memperoleh data maklumat peribadi keluarga mangsa,” ujarnya.- Majestic

More From Author

‎Tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan, satu lawan satu di Lamag

‘Kawan jaga kawan’ usaha tangani kes buli di sekolah