JOHOR BAHRU, 17 Disember — Persatuan Usahawan Dato’-Dato’ Malaysia (MDEA) hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan media sosial yang dikaitkan dengan kartunis politik dan aktivis sosial, Fahmi Reza, yang didakwa mengandungi unsur penghinaan terhadap Institusi Diraja Johor.
Menurut MDEA, tindakan tersebut diambil sebagai langkah bertanggungjawab dan berlandaskan undang-undang susulan penularan kandungan berkenaan di pelbagai platform media sosial, yang telah mencetuskan perhatian umum serta reaksi daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Presiden MDEA, Dato’ Sri Jacky Ker Cherk Yee, berkata laporan polis itu dibuat bukan bertujuan mencetuskan polemik atau ketegangan awam, sebaliknya bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan penilaian dan siasatan secara telus, profesional dan menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Beliau menegaskan bahawa Institusi Raja-Raja Melayu, khususnya Institusi Diraja Johor, merupakan tonggak utama kepada perpaduan rakyat, kestabilan negeri serta kesinambungan sistem kenegaraan di Malaysia. Sehubungan itu, sebarang bentuk penghinaan, provokasi atau kandungan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi berkenaan tidak wajar dipandang ringan.
“MDEA menghormati kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, namun kebebasan tersebut perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab, beretika dan selaras dengan undang-undang serta nilai hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Sehubungan itu, MDEA menyeru semua pihak agar mengelakkan sebarang bentuk provokasi, penghinaan atau penyalahgunaan media sosial yang boleh menggugat ketenteraman awam, keharmonian masyarakat dan kestabilan negara, selain mengamalkan komunikasi berhemah demi kepentingan bersama.
