YOGYAKARTA, 18 Disember — Syarikat pengurusan acara tempatan, Creative Creed Associates (Creative Creed)merancang untuk menjalin kerjasama strategik antarabangsa bersama syarikat pengurusan acara terkemuka Indonesia, GM Production, sebagai langkah memperluaskan operasi ke peringkat serantau menjelang tahun 2026.
Perancangan kerjasama itu dizahirkan menerusi sesi perbincangan awal dua hala yang diadakan di Pejabat GM Production di Yogyakarta pada 17 Disember, bertujuan meneroka potensi kolaborasi strategik dalam industri pengurusan acara dan kreatif antara kedua-dua syarikat.
Pengarah Urusan Creative Creed, Syaiful Bakhtiar Salim berkata, pihaknya berbangga dengan kesediaan GM Production untuk meneroka peluang kerjasama yang dilihat mampu memberi manfaat bersama dalam usaha memperkukuh perniagaan serta meluaskan pasaran masing-masing.
Menurut beliau, selain membuka ruang kepada perkembangan perniagaan, kerjasama strategik tersebut turut berpotensi meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui perkongsian pengalaman, kepakaran dan amalan terbaik antara kedua-dua syarikat.

“Kerjasama ini diharap dapat menggabungkan kekuatan Creative Creed dan GM Production bagi menghasilkan pengalaman acara yang lebih inovatif, berkualiti dan bernilai tinggi kepada klien,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, ketibaan Syaiful Bakhtiar bersama delegasi Creative Creed seramai 13 orang disambut mesra oleh pengurusan tertinggi serta warga kerja GM Production sempena lawatan rasmi ke ibu pejabat syarikat berkenaan.
Turut serta dalam delegasi ialah Pengarah Creative Creed, Muhammad Hudhayfah Zulkifli dan Ketua Pegawai Eksekutif Nebula Ventures, Mohd Ainuddin Aliff Salehuden, iaitu syarikat yang berada dalam kumpulan Creative Creed.
Sementara itu, pihak pengurusan GM Production diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Bapak Sutikno serta Pengarah Jualan dan Pemasaran, Ibu Yuliana Kartikasari.
Mengulas lanjut, Syaiful Bakhtiar berkata, pengalaman Creative Creed menguruskan acara di peringkat antarabangsa, termasuk di Osaka, Jepun pada tahun ini, telah membuka peluang dan keyakinan syarikat untuk melangkah lebih jauh ke pasaran global.
“Menjelang 2026, Creative Creed menyasarkan untuk memberi tumpuan khusus kepada penerokaan pasaran antarabangsa dalam bidang pengurusan acara.
“Selepas lebih 10 tahun beroperasi di pasaran tempatan, saya yakin kami mempunyai keupayaan dan kekuatan untuk berkembang dengan sasaran baharu ini,” katanya.
Dalam pada itu, Bapak Sutikno menyambut baik hasrat Creative Creed dan menyifatkan pertemuan tersebut sebagai satu langkah positif ke arah pembentukan kerjasama strategik jangka panjang.
“GM Production melihat potensi besar untuk bekerjasama, khususnya dalam memperluaskan jaringan serantau serta berkongsi kepakaran dalam penganjuran acara profesional yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya.
GM Production diasaskan oleh Sutikno lebih 25 tahun lalu dan merupakan antara pemain utama industri pengurusan acara di Indonesia.
