KUALA LUMPUR: Belum reda dengan isu kembali menyertai UMNO, Khairy Jamaluddin, sekali lagi dikaitkan dengan spekulasi bakal menyertai Kabinet bagi mengisi jawatan menteri yang akan kosong.
Bagaimanapun, bekas Ketua UMNO Rembau itu enggan memberikan ulasan mengenai spekulasi berkenaan sebaliknya bertanya, siapa yang menimbulkan berita berkenaan.
“Siapa yang cakap? Kalau ura-ura saya tidak boleh komenlah,” katanya ketika ditemui media ketika menghadiri pembukaan pameran di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan akan berlaku rombakan Kabinet dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi ketika berucap pada majlis penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) 2025.
Laporan sama turut memaklumkan tempoh keanggotaan Zambry sebagai Ahli Dewan Negara akan berakhir pada 2 Disember depan selepas mengangkat sumpah pada 3 Disember 2022.
Turut mengangkat sumpah pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Khairy, bagaimanapun memaklumkan beliau tidak mengetahui mengenai spekulasi penggantian atau rombakan Kabinet.
Mengulas mengenai kemungkinan beliau kembali menyertai UMNO, Khairy, sekali lagi mengulangi kenyataannya sebelum ini untuk mengumumkan keputusan mengenai perkara itu dalam masa terdekat.
“Apabila sudah tiba masanya saya akan maklumkan,” katanya.
Media sebelum ini, melaporkan Khairy meminta diberi tempoh beberapa minggu sebelum bersedia menjawab mengenai hasrat kembali menyertai UMNO.
Beliau dilaporkan berkata, tempoh itu diperlukan selepas menerima banyak pertanyaan berhubung perkara berkenaan.
Kelmarin, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pula mengesahkan tiada perbincangan mengenai hasrat Khairy kembali menyertai UMNO, selain tidak menafikan laporan mengenai desas-desus berkenaan.
Menurut laporan media sebelum ini, Khairy dijangka menyertai semula UMNO menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung hujung bulan depan.
Khairy yang kini bertugas sebagai penyampai radio dilaporkan telah mendapat restu daripada pimpinan tertinggi UMNO, khususnya Ahmad Zahid, untuk kembali menyertai semula parti berkenaan.
Difahamkan, Khairy menyatakan hasrat untuk kembali menyertai UMNO dalam satu pertemuan tidak rasmi bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis resepsi perkahwinan anak Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman, baru-baru ini.
Untuk rekod, Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 berikutan kelantangannya mengkritik kepimpinan tertinggi parti ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Beliau juga tewas ketika bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.
