KPM akan keluarkan garis panduan larangan telefon pintar di sekolah dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti garis panduan bersesuaian berhubung cadangan larangan penggunaan telefon pintar di sekolah bagi pelajar bawah umur 16 tahun.

KPM dalam kenyataan media berkata, garis panduan itu akan dikeluarkan dalam tempoh terdekat.

“KPM menyambut baik keputusan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang menggariskan langkah-langkah segera, termasuk larangan berkenaan bagi menangani isu keselamatan termasuk usaha untuk meningkatkan pemantauan pihak polis di institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Dalam pada itu, KPM turut menyokong hasrat kerajaan untuk menetapkan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial bagi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman siber.

Menurut kenyataan itu lagi, mekanisme pelaksanaan dasar itu akan diteliti oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Dalam kenyataan sama, KPM juga menegaskan semua institusi pendidikan di bawah seliaannya perlu memperkasakan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan aspek keselamatan sekolah dapat ditingkatkan.

“Kerjasama rentas kementerian dan agensi ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan MADANI untuk memperkukuhkan aspek keselamatan di semua institusi pendidikan bawah KPM,” katanya.

Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Kabinet menyarankan larangan penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah sebagai antara tiga langkah bagi menangani isu keselamatan di sekolah.

Anwar berkata, larangan itu adalah bagi membendung masalah disiplin, pengaruh media sosial serta permainan dalam talian yang sering menjurus kepada tingkah laku negatif, termasuk kes buli dan jenayah di sekolah. – BH

More From Author

Bekas Naib Canselor USM disamun, terima 15 jahitan di kepala

Ibu dakwa anak dibuli hingga dirawat di ICU