GEORGETOWN: Bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dr Dzulkifli Abdul Razak mengalami kecederaan dipercayai akibat disamun di Taman Pekaka, di sini, hari ini.
Menurut hantaran di Facebook (FB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dzulkifli yang juga bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu disamun selepas pulang daripada menunaikan solat Subuh.
“Beliau mengalami kecederaan di kepala dan dikenakan sebanyak 15 jahitan berikutan dihentak di kepala dengan objek disyaki pistol oleh suspek.
“UUM turut bersimpati, mohon doakan Tan Sri Dzul,” menurut hantaran itu, hari ini.
Sementara itu, keluarga Dzulkifli dalam kenyataan yang dikongsi UUM mengesahkan beliau berada dalam keadaan stabil dan selamat selepas menjalani pemeriksaan penuh di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Alhamdulillah, beliau sudah menjalani pemeriksaan kesihatan menyeluruh di HPP dan disahkan sihat oleh doktor. Dua anak beliau kini tinggal bersama di Pulau Pinang. Insya-Allah, jangan bimbang.
“Laporan polis juga sudah dibuat berhubung kes ini dan kami akan memaklumkan perkembangan selanjutnya selepas siasatan polis selesai bagi mengelakkan sebarang spekulasi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 50-an ditahan bagi membantu siasatan kes samun hingga mendatangkan kecederaan terhadap bekas Naib Canselor USM itu.
Beliau berkata, suspek berkenaan ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, di Bayan Baru dekat sini.
“Suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi mendapatkan permohonan reman mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi hari ini. – BH
