Siasatan PBB dapati pegawai kanan Israel cetuskan hasutan genosid di Gaza

GENEVA: Satu suruhanjaya siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini merumuskan Israel melakukan genosid di Gaza dan pegawai tertinggi negara itu termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, didapati menghasut tindakan terbabit.

Laporan itu memetik contoh skala pembunuhan, sekatan bantuan, pemindahan paksa serta kemusnahan sebuah klinik kesuburan sebagai bukti kewujudan genosid, sekali gus menambah kepada suara kumpulan hak asasi dan pihak lain yang membuat kesimpulan sama.

“Genosid sedang berlaku di Gaza,” kata Pengerusi Suruhanjaya Siasatan mengenai wilayah Palestin yang diduduki, Navi Pillay yang juga bekas hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Tanggungjawab atas jenayah kekejaman ini terletak pada pihak berkuasa Israel di peringkat tertinggi yang telah merancang kempen genosid hampir dua tahun dengan niat khusus untuk memusnahkan kumpulan rakyat Palestin di Gaza,” katanya.

Israel enggan bekerjasama dengan suruhanjaya berkenaan, manakala perwakilan diplomatiknya di Geneva menuduh badan itu mempunyai agenda politik terhadap Israel.

Analisis undang-undang setebal 72 muka surat yang dikeluarkan suruhanjaya itu adalah dapatan paling tegas oleh PBB setakat ini, namun ia adalah badan bebas dan tidak mewakili pendirian rasmi PBB.

Sehingga kini, PBB masih belum menggunakan istilah ‘genosid’ tetapi berdepan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat untuk berbuat demikian.

Israel kini sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, namun menolak tuduhan itu dengan alasan ia bertindak mempertahankan diri selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.

Konvensyen Genosid PBB 1948 yang digubal selepas pembunuhan beramai-ramai orang Yahudi oleh Nazi Jerman, mentakrifkan genosid sebagai jenayah dilakukan ‘dengan niat untuk memusnahkan, secara keseluruhan atau sebahagian, sesuatu kumpulan nasional, etnik, kaum atau agama’.

Untuk disifatkan sebagai genosid, sekurang-kurangnya satu daripada lima bentuk tindakan yang ditetapkan perlu berlaku.

Suruhanjaya PBB itu mendapati Israel telah melakukan empat daripada lima bentuk tindakan yang ditakrifkan sebagai genosid.

Ini termasuk pembunuhan; menyebabkan kecederaan fizikal atau mental serius dengan sengaja mewujudkan keadaan hidup yang boleh membawa kepada kemusnahan rakyat Palestin secara keseluruhan atau sebahagian serta mengenakan langkah bagi menghalang kelahiran.

Antara bukti yang dikemukakan termasuk temu bual dengan mangsa, saksi dan doktor; dokumen sumber terbuka yang telah disahkan serta analisis imej satelit yang dikumpul sejak perang bermula. – AGENSI

More From Author

China tembak meriam air ke arah kapal Filipina di Laut China Selatan

360 juta strim kalah pada 12 juta, Yuji pertikai AIM 24