Oleh Yahya Kiprawi
JOHOR BAHRU: Kumpulan penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat mencuri tumpuan pengunjung apabila mempersembahkan aplikasi mudah alih inovatif berasaskan Realiti Terimbuh (AR) dan gamifikasi pada Program Digital Innovation Creativepreneur (DICE) 3.0, anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi sempena ASEAN Digital Content Summit 2025 di Persada Johor, di sini.
Menurut Ketua Projek, Edwin Wong King En, aplikasi yang dinamakan Anum — Rakan Pintar Penjimat Air Anda merupakan alat pendidikan inovatif yang direka untuk menjadikan penggunaan air tersembunyi atau virtual water lebih jelas dan mudah difahami oleh masyarakat.
Katanya, aplikasi itu menggabungkan teknologi AR dengan elemen interaktif yang menyeronokkan bagi meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan penjimatan air dalam kehidupan harian.
“Melalui Anum, pengguna dapat mengimbas barangan rumah untuk melihat jumlah air tersembunyi yang digunakan, di samping menyertai kuiz serta cabaran interaktif bagi membentuk tabiat penjimatan air secara lestari,” katanya.
DICE 3.0 merupakan kesinambungan daripada Program DICE yang mula dipertandingkan di peringkat nasional pada tahun 2022. Program ini menyediakan latihan serta ruang pertandingan projek kandungan kreatif yang melibatkan penyertaan daripada Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, termasuk peserta antarabangsa.
Tahun ini, seramai 320 peserta terdiri daripada pelajar dan pensyarah IPT seluruh negara serta jemputan khas dari Indonesia, Thailand dan Brunei mempersembahkan sebanyak 64 projek kandungan digital kreatif. Antara kategori yang dipertandingkan termasuk animasi pendek, filem pendek, aplikasi interaktif media (VR/AR), dan aplikasi permainan digital.
Lebih istimewa, penganjuran kali ini bakal mencatat sejarah baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pengiktirafan kategori Most Digital Start-up Projects by Students in an International Programme. – Majestic
