Mayat lelaki terapung di perairan Kabong disahkan Tuah Bujang

KABONG: Mayat lelaki yang ditemui terapung oleh nelayan di perairan Kabong pagi tadi disahkan sebagai Tuah Bujang, 57, yang dilaporkan hilang bersama anaknya, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie, berkata identiti mayat itu disahkan isteri dan anak mangsa di Unit Forensik Hospital Saratok hari ini.

Mayat berkenaan ditemui nelayan tempatan jam 9.58 pagi hari ini pada jarak kira-kira 3.4 batu nautika dari lokasi kejadian.

Mangsa keluar menangkap ikan bersama anaknya, Aiman Tuah, 24, pada jam 2 petang, Rabu lalu.

Bagaimanapun, keadaan laut bergelora akibat hujan lebat sekitar jam 5 petang menyebabkan mereka gagal dihubungi.

Laporan kehilangan dua beranak itu dibuat di Balai Polis Kabong jam 6.49 pagi, 4 September.

Bot mangsa yang karam ditemui terapung di perairan Kabong, Khamis lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata pihaknya mengambil mayat untuk dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada polis bagi proses pengecaman.

Berikutan penemuan mayat mangsa, pencarian kini diteruskan untuk mengesan anaknya, Aiman. – BH

More From Author

Nora Danish sedia tamatkan zaman janda?

Pakar patologi saksi kes Zara Qairina lapor polis terima ancaman netizen