Faizal Tahir ‘Serbu’ SOGO, Flashmob MAHA 2026 Meriah

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Pengunjung SOGO Kuala Lumpur dikejutkan dengan kemunculan penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, yang tampil secara ‘surprise’ menerusi persembahan flashmob khas sempena promosi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, semalam.

Kemunculan penyanyi lagu rasmi MAHA 2026 itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan pengunjung apabila beliau secara tiba-tiba menyertai persembahan yang berlangsung di tengah-tengah ruang tumpuan orang ramai.

Gabungan muzik, tarian dan kemunculan mengejut itu menjadikan suasana di SOGO lebih meriah, dengan pengunjung berhenti untuk menyaksikan persembahan serta merakam detik tersebut.

Aktiviti berkonsepkan guerrilla marketing itu merupakan sebahagian daripada strategi promosi MAHA 2026 untuk membawa identiti dan kemeriahan pameran berkenaan terus kepada masyarakat, khususnya warga kota dan golongan muda.

Persembahan flashmob yang dimulakan secara spontan oleh sekumpulan penari itu secara berperingkat menarik perhatian orang ramai sebelum kemunculan Faizal Tahir menambahkan lagi keterujaan pengunjung.

Pendekatan promosi secara langsung dan tidak konvensional itu memberi peluang kepada masyarakat untuk merasai sebahagian daripada pengalaman MAHA 2026 tanpa perlu terlebih dahulu berkunjung ke lokasi pameran di MAEPS Serdang.

Selain flashmob di SOGO, kempen promosi MAHA 2026 turut diteruskan menerusi bas HOHO berkonsepkan MAHA 2026 yang bergerak mengelilingi beberapa lokasi tumpuan dan ikonik di sekitar Kuala Lumpur, termasuk Istana Budaya dan Menara Kuala Lumpur (KL Tower).

Bas tersebut membawa identiti visual MAHA 2026 secara bergerak, sekali gus menjadi medium promosi luar ruang yang menarik perhatian pengguna jalan raya, pelancong dan warga kota.

Strategi itu dilihat selari dengan usaha memperluaskan capaian MAHA 2026 dengan membawa mesej pameran terus ke lokasi yang menjadi tumpuan masyarakat, selain mewujudkan pengalaman promosi yang lebih kreatif, interaktif dan dekat dengan orang ramai.

Pendekatan ini turut mengetengahkan MAHA 2026 bukan sekadar sebagai sebuah pameran pertanian, tetapi sebagai platform yang menggabungkan agromakanan, teknologi, inovasi, hortikultur, ternakan, agropelancongan, keusahawanan dan hiburan.

MAHA 2026 berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos hingga 6 September 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.

Bertemakan “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”, MAHA 2026 memberi penekanan kepada pemodenan sektor agromakanan menerusi penggunaan teknologi, inovasi dan penciptaan nilai sepanjang rantaian makanan.

Penganjuran tahun ini menghimpunkan pelbagai pemain industri, usahawan, pengusaha agro, penginovasi serta agensi berkaitan, di samping menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung menerusi pameran dan aktiviti interaktif.

Antara tarikan yang diketengahkan termasuk teknologi pertanian, produk agromakanan, hortikultur, ternakan, agropelancongan serta pelbagai aktiviti keluarga dan hiburan.

Tidak ketinggalan, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan artis tempatan dan antarabangsa menerusi konsert ROTF, yang menampilkan barisan artis popular antaranya Dayang Nurfaizah, Hael Hussaini, Syamel, Noraniza Idris, Anggrek dan Cakra Khan, selain artis-artis lain sepanjang tempoh penganjuran.

Penganjuran MAHA 2026 membuka peluang kepada masyarakat untuk melihat sektor pertanian daripada perspektif yang lebih moden, dinamik dan berasaskan teknologi, selain meneroka potensi dalam bidang agromakanan, inovasi dan keusahawanan.

Kempen promosi menerusi flashmob dan bas HOHO di Kuala Lumpur pula diharap dapat mencetuskan rasa ingin tahu serta keterujaan orang ramai untuk berkunjung ke MAHA 2026 dan mengalami sendiri pelbagai tarikan yang disediakan.

MAHA 2026 kini sedang berlangsung di MAEPS Serdang dari 28 Ogos hingga 6 September 2026. Orang ramai dijemput hadir bagi menikmati pelbagai pameran, pengalaman interaktif, inovasi, aktiviti keluarga dan hiburan yang disediakan sepanjang 10 hari penganjuran. – MAJESTIC

More From Author

Hina raja: Ratu Nur Putri Ratu Balqis dipenjara 10 bulan