Dalang sindiket vape warga Malaysia ditahan di Singapura

SINGAPURA: Seorang warga Malaysia yang disyaki sebagai ketua utama sindiket pengedaran rokok elektronik di Singapura ditahan reman hampir setahun selepas ditangkap dalam operasi besar-besaran pada 10 Oktober 2024.

Chua Wee Ming, 34, dipercayai terbabit dalam beberapa kes sejak 2022 dan kini menghadapi pelbagai pertuduhan termasuk menipu dan cuba menghalang proses keadilan.

Dia dikatakan memainkan peranan utama dalam menguruskan penyeludupan serta pengedaran vape dari Malaysia ke Singapura.

Dalam kenyataan bersama selepas penahanannya, pihak polis dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menuduh Wee Ming sebagai individu penting dalam sindiket yang mengatur kemasukan vape secara haram ke Singapura.

Nama Wee Ming mula disebut selepas sebuah unit komersial di Sembawang dipecah masuk, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh The Straits Times.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan Wee Ming dan seorang lagi lelaki didakwa memecah masuk unit komersial itu pada 9 Mei 2022 untuk mencuri vape.

Sementara itu, Lim Zhi Wei, yang bertanggungjawab ke atas gudang itu, pada awalnya mendakwa beberapa peralatan teknologi maklumat dicuri.

Namun siasatan pihak berkuasa mendedahkan barangan yang hilang sebenarnya ialah vape bernilai sekitar S$470,000 (RM1.6 juta).

Zhi Wei kemudian mengaku membungkus, menghantar dan menjual vape di Singapura dan dikenakan denda sebanyak S$8,500 (RM29,000).

Dalam siasatan lanjut, Zhi Wei mendedahkan dia menjalankan aktiviti itu selama dua bulan atas arahan seorang rakyat Malaysia yang dikenali sebagai ‘Jason’ dengan bayaran antara S$2,000 hingga S$3,000 (RM6,800 hingga RM10,200).

Nama Wee Ming kembali muncul pada Mac 2024 apabila satu cubaan berani dilakukan untuk mencuri produk vape yang dirampas dan disimpan di sebuah gudang milik HSA, dengan nilai melebihi S$6.5 juta (RM22 juta).

Gudang berkenaan dikendalikan oleh Michael Anthony Pillay, yang menjalankan tugas penguatkuasaan bagi pihak HSA selaku ketua penyelia penguatkuasaan di syarikat WSH Experts.

Pillay kini menghadapi satu pertuduhan kerana cuba mendapatkan rasuah daripada Wee Ming dan didakwa menawarkan maklumat berkaitan serbuan HSA kepada Chua sebanyak beberapa kali, sebagai pertukaran kepada bayaran S$8,000 (RM27,000). – AGENSI

More From Author

Ada penyakit kronik sedang melanda BERSATU, akan melarat jika tak ditangani’ – Bekas pegawai Muhyiddin

Miki akui lebih hebat, kacak dari abangnya Jojo Ghazali