Ajal bilal dalam perjalanan mahu azan subuh maut kemalangan

HULU TERENGGANU: Perjalanan seorang bilal untuk mengazankan solat subuh di Masjid Bukit Perah di sini bertukar tragedi apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang berhampiran Kampung Bukit Perah, Ajil di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada pukul 6.05 pagi itu, mangsa, Samaruzaman Ismail, 66, meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, sewaktu kejadian, Samaruzaman dalam perjalanan ke Masjid Bukit Perah dari rumahnya berhampiran.

“Mangsa pergi ke masjid dengan menunggang motosikal jenis Honda ADV160 bersendirian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal dinaikinya dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu berbabas dan merempuh pembahagi jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

More From Author

Mahkamah keluarkan warta pihak ketiga bagi pihak berkepentingan ke atas RM169 juta milik Ismail Sabri

Inkues: Kecederaan di kepala Zara Qairina mungkin akibat objek tumpul