Trump akan umum tarif ke atas keluli, cip semikonduktor tidak lama lagi

MARYLAND: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini berkata bahawa beliau akan mengumumkan tarif ke atas import keluli dan cip semikonduktor dalam beberapa minggu akan datang.

“Saya akan menetapkan tarif minggu depan dan minggu berikutnya ke atas keluli dan, saya akan katakan, cip,” kata Trump kepada pemberita di dalam pesawat Air Force One semasa dalam perjalanan ke satu pertemuan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin, di Alaska.

Beliau berkata, kadar tarif akan lebih rendah pada permulaan untuk membolehkan syarikat-syarikat membina pengeluaran domestik di AS, dan akan meningkat secara mendadak kemudian, mengikut corak yang turut digunakannya untuk tarif ke atas produk farmaseutikal.

Namun, beliau tidak memberikan kadar tepat.

“Saya akan menetapkan kadar yang rendah pada permulaan — supaya mereka berpeluang untuk masuk dan membina — dan sangat tinggi selepas satu tempoh masa tertentu,” katanya.

Trump berkata, beliau yakin syarikat-syarikat akan memilih untuk menjalankan pembuatan di AS, daripada berdepan dengan tarif yang tinggi.

Trump telah menggugat perdagangan global dengan mengenakan duti yang jauh lebih tinggi ke atas hampir semua eksport negara lain ke AS, termasuk tarif khusus ke atas sektor-sektor tertentu seperti automotif.

Pada Februari, Trump menaikkan tarif ke atas keluli dan aluminium kepada kadar tetap 25 peratus, tetapi beliau mengumumkan pada Mei lalu bahawa kadar itu akan digandakan kepada 50 peratus bagi merangsang pengeluar tempatan.

Masih belum jelas sama ada satu lagi kenaikan tarif ke atas logam-logam tersebut akan dilakukan.

Trump minggu lalu berkata bahawa beliau akan mengenakan tarif sebanyak 100 peratus ke atas import semikonduktor, tetapi syarikat-syarikat yang komited untuk membina kapasiti pengeluaran di AS akan dikecualikan.

Kenyataan beliau dibuat seiring dengan pengumuman bahawa Apple akan melabur tambahan sebanyak AS$100 bilion di pasaran domestik. – REUTERS

More From Author

Kerajaan pindaan Kanun Keseksaan takrif buli sebagai jenayah – Fahmi

JDT tunggu juara Liga Jepun, China di SSI