JDT tunggu juara Liga Jepun, China di SSI

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal negara dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2025/26, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu dua kelab Jepun dan dua kelab China dalam empat perlawanan di laman sendiri bagi Zon Timur musim ini.

Berdasarkan undian hari ini, dua pasukan dari China terbabit adalah juara Liga Super China dan juara Piala FA China, Shanghai Port serta naib juara Liga Super China, Shanghai Shenhua yang pernah ditundukkan JDT 3-0 pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), musim lalu.

Tugas sukar menanti mereka selepas itu apabila akan melayan kunjungan juara Liga Jepun (Liga J) dan juara Piala Maharaja, Vissel Kobe serta pasukan ketiga Liga J, Machida Zelvia.

Bagi empat perlawanan di tempat lawan, mereka akan berkunjung ke Thailand, Australia, Jepun dan China.

Mereka akan berdepan juara Liga Thailand dan juara Piala FA Thailand, Buriram United selain dijadual berdepan naib juara ‘regular season’ Liga Australia, Melbourne City.

Mereka juga akan berdepan naib juara Liga J, Sanfreece Hiroshima selain bertandang ke Chengdu untuk berdepan Chengdu Rongcheng yang mengesahkan slot ke ACLE selepas memenangi pusingan ‘play-off’ kelayakan.

Hanya lapan pasukan teratas setiap zon akan mara ke pusingan seterusnya dan lawan mereka ditentukan berdasarkan kedudukan terakhir selepas peringkat kumpulan selesai dijalankan.

Terdahulu, JDT berjaya menamatkan saingan peringkat kumpulan ACLE musim lalu pada kedudukan yang membanggakan apabila muncul dalam kelompok tiga pasukan teratas Zon Timur.

Mereka meraih empat kemenangan dan dua keputusan seri untuk menghimpun 14 mata sekali gus mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.

Namun hasrat mereka untuk mencipta sejarah ke suku akhir ACLE buat kali pertama lebur apabila tumbang 0-1 secara agregat di tangan pasukan jiran, Buriram United pada aksi kalah mati. – BH

More From Author

Trump akan umum tarif ke atas keluli, cip semikonduktor tidak lama lagi

98 warga Bangladesh dihalang masuk, tempahan hotel palsu antara helah