KUALA LUMPUR: Semangat enggan mengalah disifatkan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin sebagai kunci kejayaan menewaskan pemain senior, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie untuk mengesahkan tempat ke peringkat lapan terbaik Kejohanan Dunia di Paris, hari ini.
Pada aksi pusingan ketiga yang berlangsung di Adidas Arena itu, pasangan ranking 16 dunia, Pang Ron-Su Yin mempamerkan kebangkitan dramatik selepas tewas set pertama untuk mencatatkan kemenangan 15-21, 21-19, 21-17 dalam pertarungan sengit selama 55 minit.
Kemenangan itu amat bermakna buat Pang Ron-Su Yin yang berdepan detik sukar sebelum ke Paris susulan prestasi tidak konsisten yang ditampilkan termasuk beberapa kali tumbang di pusingan pertama dan kedua dalam kejohanan disertainya pada tahun ini.
Pang Ron berkata, kejayaan melangkah ke suku akhir Kejohanan Dunia adalah satu pencapaian besar selepas prestasi hambar sepanjang musim.
“Ini bukan sekadar suku akhir Kejohanan Dunia, tetapi kami memang tidak beraksi dengan baik sebelum ini. Saya rasa tahun ini kami belum pernah melepasi suku akhir, jadi ini adalah satu kejayaan besar buat kami,” kata Pang Ron ketika ditermuramah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Dalam pada itu, Su Yin berkata: “Saya hanya beritahu diri saya untuk main apa yang saya boleh mainkan dan lupakan soal tekanan. Saya rasa sebab itulah kami dapat beraksi dengan baik dan memenangi mata demi mata.” karanya. – BH
