JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) negeri ini sekali lagi mendesak UMNO menyatakan pendirian sama ada ingin terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau bergerak solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Pengerusinya, Dr. Zuhan Zain berkata, pendirian UMNO Johor amat penting bagi membolehkan perbincangan yang lebih tuntas tentang hala tuju politik gabungan masing-masing di negeri ini.
“Dalam hal ini, Amanah Johor mengingatkan UMNO agar tidak berdalih dan pucuk pimpinan jangan menyatakan sesuatu, manakala peringkat bahagian pula membawa mesej yang berbeza.
“Sikap sebegini hanya menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat dan rakan gabungan. Kejujuran dalam pendirian adalah asas untuk membina keyakinan serta kekuatan bersama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Berikut ialah kenyataan penuh Dr Zuhan:
- Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor menegaskan bahawa sudah tiba masanya Umno Johor menyatakan pendirian jelas sama ada ingin terus bersama Pakatan Harapan (PH) ataupun memilih untuk bergerak ke arah pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya akan datang.
- Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri Johor mengambil maklum bahawa terdapat beberapa kawasan telah mengemukakan usul supaya pertandingan tiga penjuru dipertimbangkan.
- Hal ini mencerminkan keresahan akar umbi berkenaan kedudukan politik semasa yang masih belum menentu.
- Pendirian UMNO Johor amat penting bagi membolehkan perbincangan yang lebih tuntas tentang hala tuju politik gabungan masing-masing di negeri ini.
- Ketidaktentuan hanya akan melemahkan kekuatan bersama, sekaligus memberi ruang kepada lawan politik untuk mengambil kesempatan.
- Sehubungan itu, AMANAH Johor turut menyeru agar seluruh kepimpinan PH Johor bersedia dengan segala kemungkinan yang boleh berlaku.
- Dalam hal ini, AMANAH Johor mengingatkan UMNO agar tidak berdalih dan pucuk pimpinan jangan menyatakan sesuatu manakala peringkat bahagian pula membawa mesej yang berbeza.
- Sikap sebegini hanya menambah kekeliruan dalam kalangan rakyat dan rakan gabungan. Kejujuran dalam pendirian adalah asas untuk membina keyakinan serta kekuatan bersama.
- Persiapan rapi, penyelarasan jentera, dan keutuhan semangat gabungan perlu digerakkan tanpa lengah serta kejujuran dan kejelasan pendirian politik adalah asas untuk membina keyakinan rakyat, justeru keputusan rasmi UMNO Johor amat diperlukan bagi memastikan hala tuju politik negeri dapat disusun secara berkesan dan berpandangan jauh.
DR ZUHAN ZAIN
Naib Pengerusi
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Johor
