Op Sohor: 2 wartawan dikenal pasti pemudah cara sindiket penyeludupan

KUALA LUMPUR: Dua wartawan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi Op Sohor, semalam dipercayai menjadi ejen pemudah cara sindiket penyeludupan.

Difahamkan suspek disyaki menjadi ‘enabler’ dalam kegiatan penyeludupan barangan dari jiran itu.

Sumber berkata dua suspek itu pernah menjadi anggota tentera sebelum berkhidmat sebagai wartawan di sebuah portal berita selepas bersara.

“Ya mereka adalah bekas tentera dan selepas bersara mereka menyertai syarikat media itu.

“Setakat ini, kita mengesan mereka berhubung dengan pegawai tentera yang ditahan dan percaya mereka mempunyai peranan dalam sindiket berkenaan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Semalam, dua wartawan media dalam talian dan lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) antara 10 individu yang direman SPRM bermula semalam selepas ditahan menerusi Op Sohor, kelmarin kerana disyaki terbabit sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Tiga lagi adalah seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) serta seorang wanita warga asing.

Empat lelaki direman tujuh hari sehingga 20 Ogos ini manakala dua lelaki dan seorang wanita direman lima hari sehingga 18 Ogos. Dua lagi lelaki dan seorang wanita warga Indonesia direman tiga hari sehingga hari ini.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia antara 30 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang menerusi Ops Sohor yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), kelmarin.

More From Author

Ragut rantai nenek ketika COD barang

Kerajaan pindaan Kanun Keseksaan takrif buli sebagai jenayah – Fahmi