Petrol RON95 turun RM1.99 seliter bila penyasaran subsidi dilaksanakan – PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, langkah itu memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun serta pekerja gig.

“Sekarang saya rasa kita sedia untuk melihat keperluan menurunkan sedikit harga minyak, daripada RM2.05 sekarang tapi harga kos pasaran penjualan minyak masih RM2.50.

“Ingat ya RM2.50, kita jual RM2.05 dan sebelum akhir September saya akan pastikan pelaksanaan menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter. Ini penurun yang agak mendadak, tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang turut disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.

Bagaimanapun, katanya lagi, keistimewaan tersebut tidak akan diperoleh oleh mana-mana warga asing termasuk kenderaan asing yang memasuki negara ini.

“RM1.99 ini hanya untuk warganegara Malaysia, kita guna MyKad dapat (harga) RM1.99, yang lain bayar harga pasaran, warga asing, orang asing, kenderaan asing tetap menggunakan harga pasaran.

“Kerana selama ini kita subsidi kepada semua, subsidi kepada rakyat, subsidi kepada orang asing, ada ramai juga yang jadi pejuang nak pertahankan orang asing,” katanya. – Majestic

More From Author

Kerajaan setuju tangguh kenaikan tol – PM

Teruja suluh durian gugur tengah malam