Teruja suluh durian gugur tengah malam

SEGAMAT: Musim durian menjadi acara tahunan yang amat dinanti-nantikan, terutamanya bagi perantau yang berhijrah ke luar daerah mencari rezeki.

Bagi Ismail Badrulhisham, 39, yang merantau ke Pantai Timur sanggup pulang ke kampung halaman di Kampung Segamat Baru, di sini bagi menikmati buah durian yang popular di seluruh negara kerana keenakannya.

“Saya membesar dalam lingkungan keluarga penggemar durian, menjadikan durian Segamat tiada tolok bandingnya dari segi rasa dan kualiti raja buah tersebut. 

“Sebagai anak jati Segamat, tidak dinafikan rasa buah durian Segamat berbeza berbanding dari negeri lain atas faktor muka bumi dan kesuburan tanahnya. 

“Saya sanggup bangun pukul 2 hingga 3 pagi untuk suluh buah durian yang baru gugur kerana nikmatnya dan demi mengelakkan binatang merosakkan hasil buah durian jika dikutip lambat,” katanya yang ditemui Utusan Malaysia di rumah emak mentuanya di Kampung Lubok Batu, di sini.

Ismail mengakui, musim durian di sini ibarat pesta apabila kebanyakan jalan di sekitar daerah itu dibanjiri penjual dan peraih durian. 

“Saya pernah cuba durian di Raub, tetapi rasanya amat berbeza dan isinya tidak semanis dan seenak di Segamat. 

“Kawan saya yang menetap Singapura juga mengakui durian Segamat sangat enak dengan rasa manis, pahit berlemak yang menjadikan rasanya unik.

“Durian kampung kahwin dan IOI adalah antara kegemaran saya kerana isinya yang sedikit pahit berlemak serta manis buah.

“Tahun ini pengalaman pertama saya dengar bunyi buah durian gugur. Saya sangat teruja mendengar bunyi ‘bukkk’ buah durian jatuh terutamanya ketika waktu malam,” katanya.

Hasil tinjauan mendapati durian jenis Black Thorn dijual dengan harga RM45 hingga RM65 sekilogram bagi gred B dan C dan mampu mencecah sehingga RM90 bagi gred A.

Bagi jenis Udang Merah, D13, dan IOI pula harga bermula dari RM30 bagi gred A dan RM15 bagi gred B, manakala Kampung Kahwin bermula RM18 sekilogram.

Selain itu, Musang King dijual bermula dengan harga RM15 sehingga RM70, bergantung pada bekalan dan harga pasaran semasa. – Majestic

More From Author

Petrol RON95 turun RM1.99 seliter bila penyasaran subsidi dilaksanakan – PM

Bekas pengarah didakwa makan suap RM4,000