KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menangguh kenaikan kadar tol bagi membolehkan rakyat terus menikmati pembayaran pada harga yang sama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan daripada keputusan yang mampu memberi kelegaan kepada ramai pihak itu, kerajaan akan menanggung kos lebih daripada RM500 juta.
“Tahun ini, 10 lebuh raya dijadual untuk kenaikan kadar tol seperti mana perjanjian. Kerajaan bersetuju menangguh kenaikan tersebut supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.
“Ini antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang turut disiarkan secara langsung di televisyen hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengumumkan 15 September depan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Katanya, hari kelepasan ini bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
“Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia,” katanya lagi.- Majestic
