KUALA LUMPUR, 1 Sept. – Proses mencari dan membandingkan produk pembiayaan Islam kini boleh dilakukan dengan lebih mudah menerusi finEZ, platform digital yang menghimpunkan maklumat produk kewangan patuh Syariah dalam satu platform.
Dibangunkan oleh Ringgit Ease Sdn. Bhd. (RESB), anak syarikat Shoraka Group, finEZ diperkenalkan sebagai platform perbandingan kewangan berteraskan pendekatan Islamik-dahulu (Islamic-first) bagi membantu pengguna mendapatkan maklumat sebelum membuat pilihan pembiayaan.
Platform tersebut dilancarkan dengan kategori Pembiayaan Peribadi-i sebagai produk permulaan, membolehkan pengguna membuat perbandingan berdasarkan beberapa aspek penting termasuk kadar keuntungan, jumlah pembiayaan, tempoh pembiayaan, syarat kelayakan dan anggaran ansuran bulanan.
Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Group, Datuk Mohd Hasnul Ismar berkata, perkembangan teknologi digital membuka ruang untuk proses mendapatkan maklumat kewangan dilakukan dengan lebih mudah dan tersusun.

Menurut beliau, pengguna sebelum ini perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai institusi kewangan secara berasingan sebelum membuat perbandingan.
“Dengan finEZ, kami mahu menjadikan proses itu lebih mudah dengan menyediakan maklumat yang relevan dalam satu platform.
“Ini membolehkan pengguna membuat perbandingan dengan lebih jelas dan memahami pilihan yang tersedia sebelum membuat keputusan kewangan,” katanya.
Selain fungsi perbandingan, finEZ turut menyediakan kalkulator pembiayaan bagi membantu pengguna membuat anggaran bayaran ansuran bulanan berdasarkan jumlah dan tempoh pembiayaan yang dipilih.
Bagi produk tertentu, pengguna yang memenuhi syarat juga boleh meneruskan proses permohonan melalui platform berkenaan, tertakluk kepada kelayakan, proses kelulusan serta terma dan syarat institusi kewangan masing-masing.
Mohd Hasnul berkata, pendekatan Islamik-dahulu yang diterapkan dalam pembangunan finEZ turut bertujuan menjadikan produk kewangan patuh Syariah lebih mudah difahami oleh masyarakat.
Katanya, perkara itu penting khususnya kepada pengguna yang baru pertama kali mendapatkan pembiayaan atau masih kurang memahami perbezaan antara produk kewangan Islam yang ditawarkan.
“Pembiayaan Peribadi-i merupakan permulaan kepada perjalanan finEZ. Kami melihat potensi untuk mengembangkan platform ini dengan lebih banyak kategori produk kewangan patuh Syariah pada masa akan datang.
“Matlamat kami adalah untuk membina sebuah platform yang boleh dipercayai dan membantu pengguna membuat keputusan kewangan berdasarkan maklumat yang jelas,” katanya.
Pelancaran finEZ turut mencerminkan usaha Ringgit Ease memanfaatkan teknologi digital bagi memperluaskan akses kepada maklumat kewangan Islam, di samping memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna.
Platform finEZ boleh diakses menerusi www.finez.my. – OMK!
