Perjanjian tarif AS-Malaysia dijangka dimuktamadkan esok – Laporan

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bercakap melalui telefon pada pagi tadi, hanya sehari sebelum tarikh akhir penguatkuasaan tarif 25 peratus terhadap eksport Malaysia ke negara itu.

Sumber rasmi memaklumkan kepada The Straits Times, satu perjanjian bagi mengurangkan kadar tarif AS kepada maksimum 20 peratus atau serendah 15 peratus, dijangka diumumkan, esok.

Menurut laporan portal berita itu, difahamkan Malaysia bersetuju dengan beberapa isu, termasuk berhubung pengiktirafan pensijilan halal AS dan bekalan nadir bumi, iaitu mineral penting yang digunakan dalam teknologi canggih.

“Panggilan itu dibuat, awal pagi ini, selepas dicadangkan oleh pihak AS beberapa jam sebelumnya,” kata seorang pegawai kanan Kerajaan Malaysia yang tahu mengenai perkara itu.

Anwar turut mengesahkan panggilan telefon itu dalam ucapannya di Parlimen.

Beliau berkata: “Selepas perbincangan dan penjelasan yang saya berikan, beliau (Trump) bersetuju untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif kepada esok.”

Perdana Menteri turut memaklumkan, Presiden Trump mengesahkan akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Sebelum ini, pentadbiran Trump mencapai persetujuan dengan beberapa negara Asia lain termasuk Indonesia, Jepun, Filipina, Korea Selatan dan Vietnam menjelang tarikh akhir esok.

Namun, masih banyak negara sedang meneruskan rundingan dengan AS bagi memperincikan perkara berkaitan pelaksanaan dan aspek penguatkuasaan.

Menurut beberapa pegawai perdagangan dan ekonomi Malaysia, negara ini bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk termasuk farmaseutikal, selepas proses pensijilan terbabit diteliti serta disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Malaysia juga dijangka membekalkan unsur nadir bumi kepada AS.

Negara ini memiliki lebih 16 juta tan simpanan nadir bumi dengan nilai dianggarkan mencecah RM1 trilion.

Ketika ini, kebanyakan bijih nadir bumi di Malaysia dieksport ke China, memandangkan negara ini kekurangan teknologi untuk memprosesnya.

AS meletakkan usaha memperoleh nadir bumi sebagai komponen utama dalam strategi keselamatan nasional, tatkala China menguasai pengeluaran mineral itu.

Nadir bumi digunakan dalam pelbagai peralatan teknologi termasuk telefon bimbit, penjana kuasa dan teknologi pertahanan. – AGENSI

More From Author

Kerajaan akan teliti had umur persaraan wajib – PM

Lima warga Indonesia didakwa miliki LPG tanpa lesen