JOHOR BAHRU: Lima pekerja stor warganegara Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memiliki gas petroleum cecair (LPG) hampir 10 tan tanpa lesen di Ulu Tiram, di sini empat hari lalu.
Kesemua tertuduh, Muhammad Ali, 32, Zulfan Fauzi, 31, Nasrullah, 34, Marhaban, 31, dan Adnan, 28, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu LPG sebanyak 9,565.8 kilogram di Lot 184936, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram pada pukul 7.05 malam, 28 Julai lalu.
Kesemuanya didakwa di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukka hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Raja Nor Ikhlas Raja Ariff, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan memohon satu tarikh lain untuk memberikan hukuman bagi menunggu keputusan laporan kimia dan tidak mencadangkan jaminan kepada semua tertuduh memandangkan mereka adalah warganegara asing.
Mahkamah menetapkan 3 September depan sebagai tarikh untuk menberikan hukuman.
Baru-baru ini, KPDN negeri ini menahan lima individu dalam serbuan ke atas sebuah stor yang disyaki melakukan aktiviti penyelewengan LPG di Ulu Tiram dan menyita sebanyak 1,357 tong gas LPG berisi dan kosong berkapasiti 14 kilogram, sebuah lori tangki mengandungi LPG dan beberapa peralatan yang digunakan untuk tujuan tersebut.
