JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini menahan empat pegawai penguat kuasa kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM3,000 semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura.
Menurut sumber, keempat-empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40-an itu ditahan di pejabat SPRM Johor, hari ini.
“Dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter semalam dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.
“Susulan penahanan tersebut, dua lagi pegawai penguat kuasa telah ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Semasa tangkapan dilakukan semalam, sebanyak 14 pasport warga asing, empat unit telefon bimbit milik kedua-dua suspek utama dan wang rasuah kira-kira RM3,000 telah ditemukan.
“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang ditemui mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah melibatkan kegiatan pasport terbang.
“Bagi setiap pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah kira-kira RM200,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi (TPO) SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru esok untuk perintah reman. – Majestic
