KUALA LUMPUR: KL City FC tampaknya sudah memadam ‘tag’ mereka yang sebelum ini dilabel sebagai pasukan yang sentiasa bergelut dengan isu kewangan di bawah pengurusan baharu Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Presiden KLFA, Syed Yazid Syed Omar menjelaskan kedudukan kewangan pasukan itu dilihat lebih stabil bagi musim baharu sekali gus memberi sedikit sinar betapa pasukan ibu kota itu mampu bebas daripada sebarang isu tunggakan gaji yang dialami seperti beberapa musim terdahulu.
Tegasnya, pasukan itu tidak berdepan dengan sebarang tunggakan gaji ketika ini dan situasi itu pasti memberikan motivasi terbaik buat pasukan dalam mengharungi musim baharu yang dijangka membuka tirainya, 8 Ogos ini.
“Ya, stabil (kedudukan kewangan). Setakat ini, tidak ada (pembayaran gaji) yang kita tertunggak. Setakat daripada pengurusan baru di bawah saya selaku Presiden, semua perkara berjalan dengan lancar setakat ini,” kata Syed Yazid.
Dalam perkembangan sama, Syed Yazid turut menegaskan mereka menyatakan komitmen dengan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan yang dihadapi sebelum ini.
“(Tunggakan) yang lama kita selesaikan dengan pegawai dan pemain jadi mereka bersetuju. Baki yang tinggal pun tidak begitu banyak,” katanya.
Sebelum ini, KLFA mendapat durian runtuh menjelang sepak mula Liga M selepas menerima peruntukan RM1 juta daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri ketika berucap pada Sambutan Jubli Emas KLFA, kelmarin.
Justeru, ia boleh dianggap sebagai tonik tambahan buat KLFA sekali gus membantu pasukan itu memantapkan lagi pembangunan bola sepak di ibu kota.
Terdahulu, KL City FC menjadi antara pasukan yang dilaporkan sentiasa berdepan tunggakan gaji dan isu itu turut berlarutan sehingga musim lalu.
Malah, mereka juga pernah dipotong enam mata oleh First Instance Body (FIB) pada musim lalu kerana didapati membuat deklarasi yang tidak tepat berkaitan dengan permohonan lesen kelab mereka. – BH
