Filipina ‘ajar’ Harimau Malaya B-23 main bola

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara membuka kempen Piala ASEAN B-23 2025 dengan langkah kiri selepas tumbang 0-2 di tangan Filipina pada aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, sebentar tadi.

Keputusan ini menyaksikan skuad bimbingan Nafuzi Zain berdepan laluan berliku memandangkan hanya juara kumpulan dan satu naib juara terbaik akan mendapat slot ke separuh akhir.

Pada aksi itu, percubaan pertama skuad negara hadir seawal minit ketujuh menerusi percubaan Aliff Izwan Yuslan daripada luar kotak penalti yang diselamatkan Nicholas Guimaraes.

Namun, Filipina mengejutkan Malaysia selepas hantaran Javier Mariano disudahkan Otu Bisong pada minit kesembilan untuk mereka mendahului 1-0.Malaysia cuba membalas dengan percubaan Haqimi Azim Rosli pada minit ke-14 dan minit ke-16 tetapi tidak cukup membolosi gawang kawalan Guimaraes.

Malaysia yang berterusan menghalakan percubaan ke gawang Filipina tersentak buat kali kedua apabila Bisong menyempurnakan hantaran Uriel Dalapo untuk melebarkan jurang 2-0 buat Filipina.

Bersambung selepas rehat, tiga percubaan berturut-turut dilancarkan Malaysia menerusi Fergus Tierney (m61 dan m63) serta Faris Danish (m62) namun gawang Filipina dipertahankan dengan baik oleh Guimaraes.

Hasrat Malaysia memburu gol tidak kesampaian sehingga wisel penamat dibunyikan untuk kemenangan 0-2 buat Filipina.

Malaysia akan turun menentang Brunei pada aksi kedua, Jumaat ini sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai.

Sebagai rekod, Malaysia masih belum pernah menjuarai Piala ASEAN B-23 sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2005, dengan pencapaian terbaik adalah tempat keempat pada edisi sulung dan juga pada tahun 2023. – BH

More From Author

Selangor beri peluang pengusaha turunkan sendiri iklan, papan tanda vape sebelum penguatkuasaan

KL City buang label ‘pasukan bermasalah’