KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini, setiap warganegara berusia 18 tahun dan ke atas akan menerima RM100 secara ‘one-off’ melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bantuan tersebut diberikan secara individu dan bukannya isi rumah seperti mana yang terpakai kepada bantuan SARA pada ketika ini.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama.
“Ikhtiar ini dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
“Ini bermakna, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025 – dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia yang turut disiarkan secara langsung di televisyen, hari ini.
Perdana Menteri menambah, bagi kalangan yang berkemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini, mereka boleh tak membelanjakannya supaya dapat diagihkan semula pada program bantuan golongan rentan tahun hadapan. – Majestic
