KOTA TINGGI: “Masa pak cik saya tarik, suami pegang lagi kaki anak, tak lepas, kuat lagilah dia pegang.”
Demikian ceria Nurul Jannah Kamaruzaman, 31, isteri dan ibu kepada dua mangsa lemas di Aliyya Beachfront Campsite (ABC), Kampung Punggai, Pengerang, di sini petang semalam.
Bapa saudaranya menarik arwah suami dan anaknya keluar dari dalam laut yang ketika itu lemas akibat ombak besar kerana air pasang semasa mereka mandi.
“Saya dan ahli keluarga serta orang ramai yang berada di situ sebelum itu masing-masing memegang tangan membuat rantaian sehingga dapat menarik suami dan anak saya keluar dari dalam laut. Ketika itu dia sudah tidak sedar.
“Suami dan anak saya sebelum itu turun ke laut pukul 6 petang dan kira-kira 10 minit kemudian saya nampak dia lambung-lambung anak saya. Nak selamatkan anak saya sebenarnya. Masa tu suami saya masih ada lagi, dia cakap tolong, tolong sambil dia lambung anak saya,” katanya.
Dia yang merupakan suri rumah menetap di Taman Pelangi Indah, Johor Bahru menceritakan demikian ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Dalam kejadian 6.10 petang semalam, suami dan anaknya, Mohammad Nizam Zainal, 33, dan Muhammad Zamri Mikhail Muhammad Nizam, 8, lemas ketika mandi di kawasan perkhemahan tersebut.
Dua beranak tersebut ketika diselamatkan masih hidup, namun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Bayu Damai.
Bercerita lanjut, Nurul Jannah berkata, keluarganya datang untuk bermalam dalam khemah di kawasan itu bersama-sama ibu dan bapa saudaranya sempena cuti sekolah serta bercadang pulang hari ini.
Ibu kepada dua anak itu berkata, semasa dalam perjalanan dari rumah mereka di taman tersebut dan sampai ke kawasan perkhemahan itu pukul 12 tengah hari, dia sudah merasa tidak sedap hati.
Menurutnya, semasa sampai di kawasan perkhemahan tersebut, suaminya menjadi seorang yang banyak bercakap, ceria dan perubahan tersebut turut disedari ibu saudaranya.
Jelas Nurul Jannah, suaminya juga sangat minat berkhemah dan merupakan orang paling teruja apabila dia dan ibu saudaranya merancang percutian itu.
“Satu lagi perkara pelik, dia terus turun ke laut bersama anak tanpa mengajak atau memaksa saya ikut sekali. Selalunya kalau pergi ke pantai, dia mesti akan paksa saya mandi bersama,” katanya.
Dia berkata, suaminya yang mengusahakan sendiri bengkel membaiki kereta juga sudah tidak tidur tiga hari semasa sampai ke kawasan perkhemahan tersebut.
Tambah Nurul Jannah, suami dan anaknya akan dikebumikan di Felda Papan Timur di sini.- MAJESTIC
