UMNO harus henti politik rakus – Amanah Johor

Berikut adalah kenyataan penuh Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr. Zuhan Zain.

  1. Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor ingin mengingatkan pimpinan UMNO, khususnya di peringkat negeri, agar tidak terus-menerus sibuk berpolitik semata-mata, sebaliknya menumpukan perhatian kepada kebajikan rakyat dan menjaga semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan.
  2. Saya tidak lupa bagaimana kenyataan saya sebelum ini pernah diselar hanya kerana mengingatkan tentang kerakusan politik UMNO yang mungkin membawa kepada pertindihan tuntutan kerusi dan ketika itu, saya akui dan akur dengan nasihat agar menjaga adab dan etika setiakawan dalam pentadbiran Johor.
  3. Namun hari ini, UMNO sendiri secara terbuka melanggar semangat muafakat apabila meluluskan usul untuk bertanding di kawasan yang kini disandang oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor dan ini adalah bukti nyata bahawa UMNO sendiri yang mencabuli prinsip setiakawan yang selama ini cuba dijaga oleh rakan-rakan dalam kerajaan.
  4. Lebih memalukan, kerakusan UMNO dilihat semakin menjadi-jadi, apabila secara konsisten menyebut hasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen Sri Gading juga milik gabungan PH serta tindakan sebegini tidak mencerminkan jiwa besar atau semangat kerjasama, tetapi hanya mendedahkan kerakusan kuasa dan ketandusan keikhlasan politik.
  5. Ketika rakyat masih bergelut dengan isu kos sara hidup, pekerjaan dan ekonomi harian, fokus utama semua parti sepatutnya tertumpu kepada penyelesaian, bukan manipulasi kuasa dan politik yang tidak bertanggungjawab hanya akan memenatkan rakyat dan mengikis keyakinan terhadap kerajaan.
  6. AMANAH Negeri Johor kekal komited dalam memperjuangkan nilai integriti, muafakat dan keadilan sosial dan kami menolak politik angkuh dan rakus, serta menyeru agar semua rakan dalam kerajaan perpaduan kembali kepada asas pembentukan kerajaan ini iaitu kestabilan dan keikhlasan berkhidmat untuk rakyat.

DR ZUHAN ZAIN
Naib Pengerusi
Parti Amanah Negara (AMANAH)
Negeri Johor

More From Author

Tajuddin terajui undian G7 di Pasir Salak, buat kemunculan semula di Perhimpunan Agung UMNO

JDT sambar Nacho Mendez, perkuat jentera tengah