12 pekerja melecur akibat letupan dandang kilang kayu

BINTULU: Seramai 12 pekerja cedera dengan kesan melecur pada badan dan tangan masing-masing akibat disambar api ketika berusaha memadam kebakaran longgokan kayu dan dandang kilang terbabit malam tadi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Bintulu, Wan Kamarudin Wan Ahmad, berkata ketika kejadian mangsa sedang berusaha memadam kebakaran dua buah dandang kilang dengan menggunakan alat pemadam tetapi berlaku letupan menyebabkan semuanya cedera.

“Sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dengan bantuan BBP Kidurong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran pada jam 7.30 malam.

“Sampai di lokasi, pasukan kami dapati berlakunya kebakaran membabitkan longgokan kayu sudah diproses di luar kilang dan dua buah dandang. Ketika itu kebakaran mulai merebak ke bangunan kilang sebelum berjaya dikawal,” katanya.

Beliau berkata, semua pekerja yang mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut bergegas di lokasi sebelum mereka dihantar ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

Katanya, punca kebakaran masih dalam siasatan. – BH

More From Author

Himpunan pembangkang: Peserta hargai khidmat polis, Takiyuddin mahu program berlangsung aman

Pegawai penguat kuasa ditahan di CIQ BSI disyaki terlibat kegiatan ‘flying passport’