KUALA LUMPUR: Keputusan Lee Zii Jia menolak tawaran menyertai program Road To Gold (RTG) buat kali kedua mengundang pelbagai reaksi termasuk dalam kalangan bekas pemain negara.
Bekas pemain nombor satu dunia, Roslin Hashim berkata, selepas dua kali menolak, pihak RTG tidak lagi perlu memujuk atau memberi peluang kepada Zii Jia untuk menyertai program itu.
“Tidak perlu rayu selepas ini, sebab dia sudah dua kali tolak,” tegasnya seperti dilapor Sinar Harian.
Zii Jia merupakan antara 16 atlet elit yang disenarai pendek bagi program RTG untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Amerika Syarikat.
Tahun lalu, Zii Jia menolak menyertai RTG sebagai persiapan ke Olimpik Paris.
Mengulas lanjut, Roslin percaya keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan teliti antara pemain berkenaan dan pihak RTG.
“Perkara ini terserah kepada pemain itu, sama ada mahu menerima atau menolak tawaran RTG. Apa pun, kita kena hormati keputusannya,” katanya lagi.
Sementara itu, pasukan pengurusan Zii Jia (Team LZJ) dalam satu kenyataan rasmi merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa RTG khususnya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepada pemain tersebut.
Tambah kenyataan itu, Zii Jia masih dalam fasa pemulihan daripada kecederaan dan merasakan bantuan RTG lebih wajar disalurkan kepada atlet-atlet lain yang dilihat lebih layak.
