JOHOR BAHRU: Seorang pengurus sumber manusia warga Singapura menerima padah atas tindakannya meludah muka dan menendang kereta BMW seorang lelaki di Taman Sutera Utama, Skudai, di sini Ahad lalu apabila didenda RM9,100 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Majistret, A. Shaarmini membuat keputusan itu selepas Cheng Kuan Poh Colin, 40, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.
Beliau turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama 12 bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan niat menyebabkan kerugian dan kebinasaan harta, iaitu merosakkan kereta BMW milik Ng Yeow Meng, 32, manakala pertuduhan kedua adalah meludah ke muka mangsa dengan maksud mengaibkannya.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Sutera Tanjung 8/4, Taman Sutera Utama, Skudai pada pukul 2.39 petang, 7 Jun lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana kedua-duanya memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Fatihah Mohd. Nizam.
Terdahulu, peguam bela tertuduh, Norfarahin Mohd. Yazid memberitahu, kesalahan itu merupakan kali pertama dilakukan tertuduh.
“Dia bekerja sebagai seorang pengurus sumber manusia dengan pendapatan bulanan sebanyak 2,000 dolar Singapura. Dia yang masih bujang turut menanggung ibu bapa yang telah uzur,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh dilaporkan berkata, lelaki itu ditahan kerana menendang sebuah kereta jenis BMW. – MN
