Inspirasi kisah benar, Misteri Fraser 1910 di pawagam 26 Jun ini

KUALA LUMPUR: Kisah kehilangan peneroka Louis James Fraser atau Mr. Fraser di sebuah kawasan yang kini dikenali sebagai Bukit Fraser di Raub, Pahang pada 1910 dan menjadi misteri tidak terungkai, kini diangkat ke layar perak menerusi filem seram sejarah berjudul Misteri Fraser 1910.

Penerbitnya Elani Aidid berkata idea menghasilkan filem yang dijadual ditayangkan 26 Jun ini, tercetus ketika sedang mencari lokasi penggambaran sebuah filem di pusat peranginan itu pada 2019.

“Ketika berada di situ, kami ada terbaca sejarah mengenai Mr. Fraser yang hilang secara misteri selepas menjumpai lubuk bijih timah di situ dan langsung tidak ditemukan. Malah, ada beberapa laluan mendaki di situ turut dinamakan bersempena dengan orang yang terlibat dalam pencarian Mr. Fraser seperti ‘Bishop Trail’ dan ‘Abu Suradi Trail’.

“Jadi, ia telah mencetuskan ilham kepada saya untuk terus mengkaji dan mencipta teori fiksyen kehilangan peneroka berkenaan sehinggalah terhasilnya filem ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain menjadi tempat pelancongan, Bukit Fraser juga menyimpan beberapa kisah misteri termasuk peneroka dari Scotland itu.

Menurut Elani, kisah kehilangan Mr. Fraser agak menarik untuk dijadikan filem kerana cerita tentang peneroka itu cukup popular sehingga ceritanya selalu menjadi carian Internet di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun katanya filem itu hanya diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku 115 tahun lepas, sebelum ditokok tambah berdasarkan hasil kajian dan cerita penduduk setempat serta elemen komersial untuk tontonan di pawagam.

“Apa yang boleh saya katakan 50 peratus adalah berdasarkan kisah benar, manakala 50 peratus lagi merupakan fiksyen. Skrip filem ini dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem,” katanya.

Beliau berkata keunikan filem itu bukan terletak pada kisah seram semata-mata, malah kekuatannya turut ada pada elemen lain seperti kisah sejarah dan penonton akan dibawa kembali ke dunia klasik 1910 dengan dialog bahasa lama, busana klasik serta prop yang bertepatan dengan zaman berkenaan.

Dalam pada itu, Elani berkata Misteri Fraser 1910 telah dipilih sebagai pemenang dalam kategori Best First Time Filmmaker di Lift Off Global Network Sessions Vol. 4 (Pinewood Studio, United Kingdom) yang menyaksikan naskhah tersebut bersaing dengan 26 filem dari negara-negara lain.

Filem berkenaan mendapat undian tertinggi di festival filem yang berlangsung dari 21 April hingga 4 Mei lepas, dengan undian datang daripada penonton di luar negara.

“Selain kemenangan di festival berkenaan, kami juga ada menghantar 32 penyertaan lain di luar negara, dan terbaharu ialah sebuah festival yang akan dianjurkan di Rusia pada September nanti,” katanya.

Misteri Fraser 1910 mengisahkan Louis James Fraser yang didapati hilang secara tiba-tiba, manakala keretanya telah ditemukan di pinggir jalan sebuah kawasan hutan. Kehilangannya itu menjadi misteri.

Menampilkan Josiah Hogan sebagai Mr. Fraser, filem tersebut menampilkan barisan pelakon popular seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra dan ramai lagi. – BERNAMA

More From Author

Seni belon unik ubah hobi jadi perniagaan lumayan bekas pramugara

Najib lepas tanpa bebas tiga pertuduhan SRC RM27 juta!