Hamidin Presiden Kehormat FAM?

KUALA LUMPUR: Adakah mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin bakal ‘dinaikkan pangkat’ sebagai Presiden Kehormat FAM selepas ini?

Khabar angin mengenai perkembangan terbabit semakin bertiup kencang selepas badan induk itu bakal melangsungkan Kongres Luar Biasa pada 30 Jun ini.

Malah spekulasi itu terus diperkuat terutama selepas kelibat Hamidin sering disaksikan dalam acara membabitkan FAM dan juga aktiviti bola sepak termasuklah pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2027 antara Malaysia berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan Kongres Luar Biasa FAM kali ini adalah bertujuan untuk meluluskan Jawatankuasa Bebas dan juga Badan Kehakiman termasuklah Jawatankuasa Tatatertib, Majlis Resolusi Pertikaian (NDRC) dan Jawatankuasa Pemilihan.

“Perkara ini sudah disokong dalam Mesyuarat EXCO yang lalu untuk dibawa pada Kongres Luar Biasa pada 30 Jun ini. Yang itu (isu Presiden Kehormat), kita tunggu Kongres Luar Biasa itu nanti,” kata Noor Azman secara ringkas.

Bagaimanapun, Noor Azman tidak menafikan betapa Hamidin sememangnya berpengalaman luas dalam urustadbir membabitkan bola sepak selain memiliki pengaruh tersendiri di peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

“Tan Sri memang berpengalaman selain hubungannya bersama FIFA, AFC, AFF dan juga hubungan dengan kerajaan yang masih erat. Saya sendiri pun masih meminta pandangannya tetapi untuk Presiden Kehormat, kita tunggu Kongres Luar Biasa itu.

“Harus diingat Tan Sri adalah mantan Presiden FAM dan kita menjemput beliau ke majlis utama untuk mengenang jasanya. Beliau juga masih memegang jawatan selaku Ahli Majlis FIFA selain di AFC dan AFF.

“Dari segi protokolnya, Ahli Majlis FIFA paling tinggi dan lebih menguatkan lagi adalah beliau selaku mantan Presiden FAM. Jadi sebab itulah kita setiap menjemputnya dalam setiap majlis utama,” katanya. – BH

More From Author

Pelantikan 2 jawatan Kabinet hak prerogatif Perdana Menteri

Batik luar masih jadi pilihan pengguna?