Facundo Garces muka baharu Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Pertahanan tengah Facundo Garces diumumkan sebagai pemain baharu yang akan menyertai skuad bola sepak kebangsaan kendalian Peter Cklamovski.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, pemain berusia 25 tahun itu bakal membawa kualiti, pengalaman dan kepimpinan kepada Harimau Malaya yang dalam rangka memperkukuhkan pasukan.

“Garces pernah bermain di liga utama Argentina dan baru sahaja menamatkan musim bersama Deportivo Alaves di La Liga, selain telah melengkapkan segala keperluan pendaftaran dan kelayakan dan kini tersedia untuk dipilih oleh Cklamovski.

“Beliau adalah seorang pemain yang berperwatakan hebat, pertahanan yang tenang serta memiliki personaliti dan pengalaman tinggi.

“Beliau sangat bersemangat untuk mewakili Malaysia dan membanggakan negaranya,” kata FAM dalam kenyataan, semalam.

Pada masa sama, menurut FAM, Garces turut meluahkan keterujaannya untuk mewakili Malaysia.

“Menjadi sebahagian daripada pasukan kebangsaan ini adalah satu penghormatan luar biasa. Sejak tiba, saya telah merasai kehangatan, semangat kekeluargaan dan sokongan ikhlas daripada semua.

“Jika ini baru permulaan, saya tidak dapat bayangkan betapa hebatnya bila seluruh negara dan penyokongnya berdiri teguh bersama kami. Saya bersedia memberikan segala-galanya demi Malaysia,” katanya.

Garces telah menyertai kem latihan pasukan dalam perlawanan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan layak untuk beraksi pada perlawanan Kumpulan F bagi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam, pada 10 Jun ini. – MN

More From Author

Kegembiraan dua beradik bertukar tragedi

Khutbah Arafah bakal capai penonton global dalam 34 bahasa