JDT hampir benam Chelsea, pamer aksi cemerlang

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) mempamerkan prestasi cemerlang apabila mampu bersaing dengan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dalam perlawanan persahabatan, malah hampir menewaskan skuad itu, namun akhirnya akur seri 3-3.

Pengendali JDT, Xisco Munoz bangga dengan persembahan bertenaga para pemainnya di Stadium Sulta Ibrahim di sini.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, barisan pemain skuad Harimau Selatan tidak gentar dengan kredibiliti pasukan lawan dan memberi tentangan sengit sehingga menyebabkan suhu permainan persahabatan itu sedikit ‘panas’.

Beliau yang pernah mengendali Watford di EPL sekitar 2021 mengetahui corak permainan pantas kelab di liga tersebut dan sudah membuat persiapan rapi bagi berdepan skuad bimbingan Xabi Alonso itu.

“Pada perlawanan ini, kami beraksi dengan kompak serta corak permainan tersusun di setiap posisi pertahanan, tengah dan serangan. Pemain juga faham dengan taktikal yang diterapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.

Dengan berakhirnya aksi pra-musim, Munoz kini mengalihkan tumpuan kepada aksi pembukaan Liga Super menentang Kuching City FC bagi merebut Piala Sumbangsih pada 22 Ogos ini.

Menurutnya, keputusan aksi persahabatan bukannya ukuran utama, sebaliknya peningkatan tahap permainan secara berterusan yang menjadi keutamaan.

Mengulas lanjut, Munoz turut mengesan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera, terutamanya ketajaman jentera serangan apabila berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.

“Dalam perlawanan berintensiti tinggi, perbezaan keputusan selalunya ditentukan oleh sentuhan penyudah yang tajam di dalam kotak penalti lawan.

“Hari ini kita mencipta tiga hingga empat peluang satu lawan satu dengan penjaga gol, dan situasi itu sepatutnya disempurnakan dengan gol. Idea saya mudah, kita perlu terus berkembang dan mengambil satu lagi langkah ke hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata, tiada jaminan buat mana-mana pemain untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan perlu bersaing sengit setelah pasukan mempunyai seramai 37 pemain yang berkualiti.

“Tiada sesiapa boleh ‘tidur’ atau leka dalam skuad ini. Jika anda leka walaupun sesaat, anda mungkin akan tersisih daripada senarai pemain untuk tempoh tiga hingga empat bulan,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Lemas: Ayah sedih tak sempat tunaikan permintaan anak

Pelajar cedera ditusuk kerambit oleh rakan sekelas