KOTA BHARU: Setelah lebih tiga dekad berkecimpung dalam bidang seni bina, Ramlee Hamzah, 57, beralih arah ke dunia seni lukis, menjadikan kanvas sebagai pentas baharu untuk meluahkan emosi, merakam kenangan dan serasi dengan jiwa.
Lulusan seni bina Universiti Teknologi Malaysia itu meninggalkan kerjaya sebagai pelukis pelan selepas 34 tahun, memilih laluan seni yang lebih bebas dan peribadi. Namun begitu, sesuatu yang ketika dulu hanya sekadar hobi dan terapi jiwa, kini menjadi sumber rezeki.
Perjalanan seni Ramlee bermula secara tidak sengaja pada 2018 selepas kematian insan tersayang.
“Saya mula melukis secara serius selepas kematian ayah saya, Hamzah Yacob, pada 2018. Sepanjang lima tahun menjaga beliau, kami menjadi sangat rapat.
“Apabila arwah tiada, saya rasa kosong dan sangat sunyi. Lukisan pertama saya ialah potret arwah ayah dan karya itu bukan sekadar gambar, tapi satu luahan rasa yang terpendam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Tanpa disangka, potret ayahnya yang dikongsikan di Facebook mendapat sambutan luar biasa. Keindahan karya itu membuatkan ramai yang terkesan, memicu tempahan daripada rakan dan kenalan.
Menyedari hobinya membawa rezeki baharu, akhirnya Ramlee membuat keputusan besar iaitu meninggalkan dunia teknikal pada 2020 untuk melukis sepenuh masa.
“Sebelum ini saya hidup dalam tekanan dan rutin yang kaku. Akan tetapi, sejak menceburi seni, saya temukan ketenangan. Setiap kali menyempurnakan karya, ada rasa puas dan lega yang sukar digambarkan,” katanya.
Kini, Ramlee mahir berkarya dengan arang, cat minyak, akrilik dan cat air untuk menghasilkan pelbagai lukisan merangkumi potret, figura, karikatur, landskap dan objek dengan elemen kebudayaan seperti wau dan perahu kolek yang mencerminkan warisan dan jati diri.
“Arang dan cat minyak paling digemari pelanggan kerana tahan lama dan hasilnya seolah-olah hidup,” katanya.
Dalam sehari, Ramlee mampu menghasilkan hingga 50 lukisan karikatur ringkas. Namun, untuk karya figura atau potret yang lebih kompleks, adakalanya mengambil masa hingga dua bulan, bergantung pada kerumitan dan perincian yang diperlukan.
Dari segi harga, karya Ramlee dijual serendah RM10 untuk karikatur ringkas, manakala lukisan eksklusif boleh mencecah RM2,500 sebuah.
“Seni lukis bukan sekadar mencalit warna di atas kanvas… perlu ada minat, kesabaran dan jiwa. Jika diterjemah dengan jujur, lulusan akan ‘hidup’ dan menyentuh hati yang memandang,” katanya.
Kini, Ramlee aktif menyertai pameran seni di seluruh negara dan lebih membanggakan, dua daripada lima anaknya mewarisi bakat seni beliau, iaitu Norlisa, 28, sebagai pelukis digital dan Adlina, 22, yang membantu menguruskan studio beliau.
“Seni ini bukan sekadar rezeki, tapi juga warisan dan peninggalan rasa,” katanya. – BERNAMA
